Saturday 2 April 2016

CARA ELAK BEBAN HUTANG

Tags


Berkahwin sudah bersanding pun sudah. Ibaratnya, semua beban kenduri kendara sudah dilangsaikan. Namun bagaimana merancang kehidupan seterusnya bagi mengelakkan kehidupan berumah tangga tidak dililit hutang?

Tidak dapat dinafikan bahawa ada pasangan yang berkahwin gagal mengekalkan kebahagiaan akibat terperangkap dengan masalah kewangan keluarga. Mungkin isteri banyak tuntutan materialnya terhadap suami sedangkan si suami kurang pula punca pendapatannya. Ada juga yang sumber kewangannya banyak tetapi tetap mengalami masalah hutang akibat boros dan tidak tahu mengagihkan wang secara teratur.

Jadi bagaimana beban hutang boleh dielakkan atau diatasi?

1.Jangan Tinggalkan Beban Hutang Kahwin

Anda sepatutnya bersikap realistik tentang perbelanjaan perkahwinan anda. Senaraikan barangan yang mustahak bagi perkahwinan anda. Bincangkan bersama pasangan jumlah wang yang anda berdua mampu bagi perbelanjaan tersebut. Jangan berbelanja sehingga anda terpaksa meminjam daripada ahli keluarga serta kawan-kawan atau dari bank bagi mengadakan majlis perkahwinan yang mewah. Malah anda sepatutnya membuat simpanan awal bagi perkahwinan sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan anda secara menyeluruh.

2.Hidup Ikut Kemampuan

Apabila hidup ikut kemampuan, anda juga akan berbelanja mengikut wang yang ada. Pelbagai barangan sentiasa dipasarkan di televisyen, papan iklan, majalah, akhbar dan sebagainya. Ia bergantung kepada anda untuk menahan diri daripada terpengaruh dengan semua itu. Apakah keperluan serta kehendak anda. Pendek kata, segala keputusan yang dibuat berhubung dengan keperluan dan kehendak akan memberi kesan kepada bajet dan perbelanjaan bulanan anda.

3.Tabiat Menabung Perkahwinan

Pelan tabungan adalah penting dalam perancangan kewangan. Anda perlu menabung 10% daripada pendapatan setiap bulan. Tabiat menabung ini bertujuan untuk menggalakkan simpanan masa depan. Walau banyak mana pun wang yang diperoleh jika kita tidak merancang kewangan dengan betul, segala wang yang diperoleh akan ‘hilang’ begitu sahaja.