Khasiat ulam
#Penggemar ulam tentunya tiada masalah menjamah pelbagai sayuran hijau sebagai pembuka selera. Ulam-ulaman memiliki pelbagai khasiat seperti timun, ulam raja, lobak merah, kacang botol malah cekur yang dijadikan sebahagian rencah masakan.
#Timun antara ulaman yang cukup mudah dijamah dan mempunyai pelbagai khasiatnya. Berasal dari India dan ditanam kira-kira 3,000 tahun lalu, timun berupaya mengekalkan kandungan alkali dalam darah tubuh. Disebabkan kandungan asidnya tinggi, timun membantu rawatan gastrik menerusi pengambilan jusnya. Malah, campuran jusnya bersama beberapa bahan lain membantu masalah berkaitan asid urik seperti gout dan artritis.
#Timun membantu penghadaman dan membersih bahagian usus. Malah, timun digunakan untuk rawatan kecantikan terutama masalah jerawat, bintik hitam, kedutan dan kulit yang kering.
#Selain kandungan lembapan yang tinggi (kira-kira 96.3 peratus lembapan bagi 100 gram), timun mempunyai protein, mineral, serat, karbohidrat, kalsium, fosforus, besi, vitamin A serta vitamin C. Menikmati timun dengan membuang kulitnya bukan idea yang baik kerana ia mengandungi bahan sterol untuk merendahkan tahap kolesterol manakala kulit timun banyak mengandungi sterol.
#Ulam raja bukan saja enak dicicah sambal belacan, tempoyak atau budu, malah kaya dengan protein, karbohidrat, vitamin A dan kalsium. Tumbuhan yang berasal dari Amerika Latin ini mengeluarkan bau apabila daunnya diramas, tetapi ada yang gemar bau itu kerana ia pembuka selera.
#Ulam raja digunakan untuk memperbaiki peredaran darah serta menguatkan tulang di samping antioksida yang sangat tinggi. Biasanya pucuk atau daunnya yang muda dimakan dan ia boleh dicampur dengan ulaman lain dalam ramuan nasi ulam.
#Di samping beberapa jenis vitamin seperti vitamin A, B1, B2 dan C, ulam raja yang banyak mengandungi air ini turut mempunyai protein, lemak, karbohidrat, serat, kalsium, fosforus, ferum, natrium, kalium dan niasin.
#Ulam raja mudah dibiak menerusi semaian biji benih walaupun tanpa penjagaan rapi. Cekur atau nama saintifiknya, Kaempferia galanga turut mempunyai bau yang membangkitkan selera. Tumbuhan herba yang hanya mempunyai dua hingga tujuh helai daun ini tumbuh di kawasan yang lembap dengan sedikit teduhan.
#Rizom cekur antara lain berfungsi mengecutkan rahim, membuang angin, sakit sendi dan melancarkan haid. Selain membantu melegakan batuk dan mengurangkan bengkak, ada juga menjadikan bedak merawat jerawat. Kajian mendapati rizom cekur mempunyai sebatian minyak pati seperti sineol, borneol, kamphere dan asid sinamik.
#Penggunaannya memang meluas khususnya di kalangan masyarakat Nusantara. Di kalangan masyarakat Melayu zaman dulu, rizom cekur, jerangau dan beberapa rempah lain digunakan untuk merawat demam malaria. Masyarakat Cina banyak menggunakan rizom cekur misalnya untuk mengubati sakit gigi serta menghilangkan kelemumur dan kutu kepala.
#Di samping menjadi bahan pembuka selera sajian, masyarakat berkenaan menggunakan cekur untuk membuang angin dalam perut, mengubati sembelit dan sakit kepala. Wanita Indonesia juga banyak memanfaatkan kebaikan cekur untuk memanaskan perut untuk wanita selepas bersalin di samping merawat bengkak dan kebas otot.
Sekian sahaja yang dapat saya kongsikan,dipersilakan share.