Tuesday 6 September 2016

Ubah bentuk asal semata-mata untuk cantik adalah berdosa

Tags

Ubah bentuk asal semata-mata untuk cantik adalah berdosa

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

*Fitrah setiap manusia khasnya wanita yang sentiasa inginkan bentuk badan cantik dan menarik menjadi bonus bagi penjual ubat-ubatan 'cantik ekspres' menerusi online di negara ini.

*Namun, di sebalik perniagaan itu, umat Islam mudah terjebak dengan dosa besar kerana mengubah bentuk badan asal mereka.

*Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Datuk Noh Gadut berkata, tujuan yang dibenarkan untuk mengubah bentuk badan asal hanya bagi memperbaiki organ badan yang rosak akibat trauma kemalangan selain mengembalikan kecacatan kepada bentuk normal.

"Ulama tafsir berkongsi tiga pendapat berkaitan takrifan 'merubah fitrah kejadian dan apa juga yang ditetapkan Allah SWT' iaitu mengubah bentuk badan dan organ haiwan serta manusia, mengubah tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan batu atau matahari sebagai Tuhan dan mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan Allah SWT serta sebaliknya.

"Kini, perkara membimbangkan ialah ada pihak cuba memperdaya orang ramai dengan mengatakan bahan digunakan untuk menghasilkan ubat-ubatan kosmetik hanya mengandungi sesuatu protein dan ia juga tidak mengubah bentuk badan asal," katanya.

Noh mengulas lambakan laman sosial Facebook (FB) dan blog yang menjual hormon estrogen kepada wanita yang menginginkan bentuk badan menggiurkan tanpa perlu menjalani pembedahan.

Apa yang perlu dilakukan pembeli ialah menghubungi penjual sebelum hormon berkenaan disuntik sendiri ke bahagian badan yang dirasakan perlu diubah.

Bagaimanapun, ramai menyesal kerana kecantikan diperoleh hanya sementara sebelum bahagian badan yang disuntik kendur, malah bertukar buruk.

"Mungkin sekarang nampak cantik namun hakikatnya semuanya palsu, malah perlu menanggung dosa seumur hidup.

"Jika tidak sakit, mengapa perlu cari penyakit dengan melakukan pembedahan atau menyuntik untuk mengubah bentuk badan asal," katanya.

Menurut Noh, cantik dan berhias sememangnya dituntut Islam berikutan Islam tidak suka umatnya selekeh dan tidak terurus.

"Rasulullah SAW sendiri sangat kemas, kacak dan menarik sekali, malah sedap mata memandang.

"Oleh itu, setiap kali ingin mendapatkan rawatan kecantikan, tolong rujuk kepada tokoh agama supaya tuan punya badan tidak melakukan dosa dalam niat untuk kelihatan cantik," katanya.


SEKIAN SAHAJA SAYA DAPAT KONGSIKAN
JOM SHARE, SEMOGA ARTIKEL INI MEMBERI MANFAAT UNTUK SEMUA.