Thursday 3 March 2016

Kalau Nak Lebih, Isteri Kena Ada Gaji Sendiri

Tags

Kalau Nak Lebih, Isteri Kena Ada Gaji Sendiri

Ramai merungut tentang kenaikan sara hidup masa kini dan tahun 2016 ini ada yang sudah meramalkan banyak lagi masalah-masalah akan timbul dengan kenaikan kos sara hidup. Bagi wanita pula lagilah banyak rungutnya, apa taknya wanita memainkan peranan penting dalam hal-hal dalaman rumah tangga dari dapur, bilik tidur, ruang tamu hinggalah ke halaman rumah semuanya di bawah urusan Menteri Hal Ehwal rumah tangga iaitu isteri.

Hal ini bermakna semua perbelanjaan di bawah perhatian dan tindakan si isteri. Cuba bayangkan jika si isteri tidak bekerja dan hanya bergantung harap pada suami yang bergaji RM3000.00 sebulan, apalah saja yang tinggal untuk simpanan masa depan.

Katakan pasangan tersebut tinggal menyewa rumah teres dan mempunyai seorang anak (isteri berhenti kerja untuk jaga anak kerana kos jaga anak lebih tinggi dari gaji isteri sebagai kerani swasta), sewa rumah paling rendah pun RM750.00 (rumah layak tinggal), makanan dan minuman sebulan RM1000.00, bayaran ansuran kereta nasional RM500, tapi kalau mengada-ngada lebih nak pakai kereta continental, bayarlah lebih, cukup bulan tengok tayar kereta saja sebab tak mampu nak bawa kereta berjalan-jalan kerana duit minyak tak cukup.

Itu belum masuk lagi kos kesihatan dan kebajikan keluarga, anak bini sakit atau si suami yang sakit iaitu sakit jiwa memikirkan bajet tak pernah cukup, hanya cukup-cukup hidup! Duit tol, duit minyak, duit beli barangan kesihatan, pendidikan, bayar hutang PTPN masa belajar dahulu lagi serta duit nak bagi emak ayah atau adik-adik minta sikit sana-sini, mana nak cari semua tu.

Memang sakit di buatnya bila fikir soal duit ni, sakit dada memikirkan, sakit mata tengok duit tak pernah bertambah, sakit hati memikirkan macam-macam nak bayar hingga sakit-sakit pun kena kerja tambahan cari duit dan akhirnya sakit jiwa kerana tidak tertahan menanggung kesengsaraan hidup di bandar dan kota besar!

Sebab itu bilangan masyarakat yang sakit mental semakin bertambah dan antara faktornya adalah kerana krisis kewangan. Ramai pasangan-pasangan muda dan veteran bergaduh, bercakaran hingga berpisah dan bercerai kerana soal kewangan. Kalau dulu semasa bercinta-cintaan ayat power yang diguna “aku mengahwinimu bukan kerana harta tapi cinta suci” tapi setelah dua tahun berkahwin, baki gaji suami hanya tinggal RM200 dan berdaki dengan segala hutang keliling pinggang, isteri mula naik radang dan berperang, suami balik rumah disambut dengan muka muncung dan masam mencuka, suami buka periuk nak makan, hanya lauk ikan sardin masin dan masam air lada.

Suami nak mandi sabun berbuih di dada, tapi yang ada hanyalah sabun buku dan sabun basuh kain yang ekonomikal dan jika di sapu di bulu dada, luruh semua bulu yang ada. Masuk ke bilik tidur, nak buka penyaman udara, isteri kata tak payah on, kerana bil elektrik dah off tak bayar lagi. Akhirnya segala yang manis jadi masam belaka, kata-kata mesra manja diganti dengan sindiran dan tengking menengking sahaja. Dulu “I love you”, tapi sekarang sudah jadi “I hate you”, perasaan dan hati menjeruk rasa dan akhirnya tidak lagi seia dan sekata dan berpisah jalan penyelesaiannya membawa diri dan jalan kehidupan masing-masing.

Bagi wanita di luar sana, sediakan payung sebelum hujan, kalau sudah bekerja, janganlah berhenti setelah berumah tangga, teruskan usaha dan bekerja bagi membantu ekonomi keluarga kerana malang tidak berbau, manalah tahu suami jatuh sakit, atau anak-anak yang sakit atau suami beralih hati dan perasaan kepada wanita lain ke, itu semua di luar jangkaan kita.

Jadi bersedialah dalam apa juga keadaan. Wanita perlu ada pendapatan sendiri untuk kita jaga diri dan mencantikkan fizikal dan mental kita, itu semua perlu duit. Kalau kita kekal dengan imej 4C iaitu Cantik, Ceria, Cergas dan Cerdik walau di mana usia kita, suami pun bangga hingga melenting misai Wak Doyoknya tengok isterinya maintain melentik.

Anak-anak pula bertepuk riang tengok ibunya sentiasa sayang dan tertawa girang kerana hati senang melihatkan kerut, kedut, parut tiada di wajah serta jerawat dan jeragat langsung tidak menyinggahi kerana kulit sentiasa putih, bersih, segar dan bersinar. Siapa nak tanggung belanja untuk isteri kekal jelita. Kitalah isteri yang menjawab, iaitu guna duit sendiri. Suami nak tolong beli mekap? Hah! Dia kata “TOLONG BELI SENDIRI YA!” Kepada semua kaum wanita, pandai-pandailah kita menjaga ekonomi keluarga dan jaga diri agar sihat ceria sentiasa.