Berkerja Lebih Masa Berisiko Menghidap Masalah Jantung Serius
PARIS - Individu yang bekerja tiga jam atau lebih dari masa kerja sepatutnya dalam sehari, berdepan 60 peratus risiko lebih tinggi menghidap masalah jantung serius berbanding individu yang bekerja pada waktu biasa, demikian menurut kajian yang disiarkan di Jurnal Jantung Eropah.
Penemuan itu dibuat daripada projek penyelidikan jangka panjang melibatkan 6,014 kakitangan awam berumur 39 hingga 61 tahun, di mana dua per tiga adalah lelaki yang tidak mempunyai masalah jantung semasa kajian dimulakan pada awal tahun 1990-an.
Sepanjang 11 tahun pengawasan dijalankan, 369 daripada sukarelawan itu meninggal dunia akibat penyakit koronari jantung (CHD) atau mengalami serangan jantung yang tidak membawa maut.
Selepas mengambil kira faktor risiko seperti merokok, berat badan berlebihan dan paras kolestrol yang tinggi, doktor mendapati bekerja lebih masa antara tiga jam dan empat jam sehari boleh mendatangkan risiko 60 peratus lebih berbanding individu yang bekerja pada masa biasa.
Kajian juga menunjukkan individu yang bekerja lebih masa agak kurus berbanding mereka yang bekerja pada waktu biasa dan ia kebiasaannya melibatkan lelaki dengan pekerjaan kelas tinggi berbanding wanita.
Para penyelidik berkata, kaitan antara masalah jantung dan kerja lebih masa agak nyata tetapi puncanya masih belum jelas, sekali gus menggambarkan betapa kompleksnya hubungan penyakit jantung dengan tempat kerja.
Sebagai contoh, kerja lebih masa boleh memberi kesan kepada metabolisme atau tekanan tersembunyi, keletihan dan rasa mengantuk.
Turut wujud adalah satu fenomena yang dipanggil 'bekerja ketika sakit' di mana individu yang bekerja lebih masa akan tetap bekerja walaupun sedang sakit dengan mengabaikan simptom-simptom serta tidak bertemu doktor bagi mendapatkan ubat.
Bagaimanapun, individu yang suka dengan kerja mereka dan cenderung untuk bekerja lebih masa kerana seronok, mempunyai risiko lebih rendah menghidap CHD.
"Lebih banyak penyelidikan perlu dijalankan sebelum kita yakin bahawa kerja lebih masa boleh mengakibatkan CHD," kata Marianna Virtanen, pakar epidemiologi di Institut Kesihatan Pekerjaan Finnish Universiti College London. - AFP
P/S : Awas guyss, kerja tu kerja juga, tapi kesihatan kene jaga.. Duit boleh cari, jantung susah nak nak cari..hehehe..