(\)Kelebihan wanita yang berbadan besar dalam berpakaian adalah apabila mereka dapat bermain dengan warna gelap dan corak berjalur sesuai dengan rekaan, gaya, pekerjaan dan juga personaliti pemakai. Terdapat tanggapan lama yang menyatakan bahawa pakaian berwarna gelap hanya sesuai dipakai ketika berkabung atau memberi ekspresi murung, sedih dan ganas tidak boleh lagi diguna pakai. Tetapi, sekarang masyarakat sudah mula bersikap terbuka dalam menentukan pilihan warna pakaian. Malah, mereka juga menitik beratkan soal rekaan dan stail pakaian untuk tampak berbeza serta menonjol.
[1] (\)Rekaan jaket berpotongan paras pinggul dengan corak fabrik jalur menegak mampu memberikan kelangsingan dan memberi impak tinggi pada mereka yang berbadan besar dengan ketinggian sederhana.
[2] (\)Saiz leper (kolar) jaket sederhana besar dan potongan lengan padanan rata boleh membantu mengelakkan tubuh kelihatan bertambah besar. ‘Princess line’ pula dibuat supaya dapat memberikan bentuk pada tubuh terutama bagi mereka yang mempunyai masalah bentuk badan lurus. Potongan ‘cuff’ pada bahagian hujung lengan yang bersaiz lebar dan tirus boleh memberikan kelainan.
[3] (\)Fabrik corak berjalur bersaiz sederhana tebal sangat sesuai digunakan untuk membuat jaket berpotongan dan boleh dipakai secara formal mahupun kasual. Gabungan warna seperti hitam dan kelabu pada jaket masih boleh memberi impak menjadikan kulit kelihatan cerah dan segar. Untuk tampak lebih yakin, sapuan solekan bersesuaian mampu menaik seri wajah.
[4] (\)‘Tube’ yang dipakai bersama jaket dan padanan kain separa kembang dari warna hitam polos dapat menampilkan gaya elegan. Fabrik yang disarankan adalah dari jenis elastik atau ‘bias-cut’ kerana ia boleh memberikan keselesaan sekali gus mencipta bentuk pada tubuh.
[5] (\)Pemilihan barang kemas tidak perlu terlalu sarat. Jika ingin tampil bergaya dan anggun, tambah aksesori pelengkap seperti tali pinggang dan kasut pilihan warna sedondon.