Anggur boleh menghidarkan jerawat
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati :
Kali ini saya ingin berkongsi sedikit tentang khasiat buah anggur yang boleh menghidarkan jerawat dimuka kita. Jerawat sangat sinonim dengan kita terutamanya di kalangan wanita. Jadi benarkah bahan yang terdapat dalam anggur mampu menghalang pertumbuhan jerawat?
Selepas sakit jantung dan kesihatan gigi, sepasukan saintis USA mendapati bahan yang terkandung di dalam anggur mampu memainkan peranan yang penting bagi melawan jerawat.
Meskipun bagi sesetengah orang, anggur merah boleh membuatkan kulit menjadi bercahaya dan kemerah-merahan, saintis di Universiti California, Los Angeles (UCLA), ingin tahu sama ada mereka boleh mengambil sifat antioksidan bahan terpentingnya yang menyihatkan jantung, resveratrol, untuk digunakan sebagai rawatan bagi jerawat.
Selepas menggabungkan antioksidan dengan ubat jerawat biasa, benzoil peroksida, penyelidik mendapati bahawa resveratrol mampu tingkatkan keupayaan ubat untuk hilangkan jerawat dengan menghalang bakteria dari tumbuh yang mana ia boleh menyebabkan jerawat.
Resveratrol bertindak dengan memghentikan pembentukan radikal bebas. Untuk pengetahuan anda, pembentukan radikal bebas boleh menyebabkan sel dan tisu rosak. Sementara itu, benzoil peroksida adalah oksidan yang bertindak dengan mewujudkan radikal bebas yang membunuh bakteria jerawat.
Walaupun, dari segi teori, kedua-dua bahan tersebut sepatutnya membatalkan satu sama lain, penyelidik mendapati kedua-dua unsur tersebut bekerjasama secara erat melawan bakteria iaitu satu membunuh dengan agresif, manakala satu lagi memberi perlindungan anti-bakteria yang berpanjangan.
“Ia seperti menggabungkan yang terbaik daripada kedua-dua dunia dan menawarkan serangan serampang dua mata ke atas bakteria,” kata Dr. Jenny Kim, Pengarang Kanan.
Dalam kajian tersebut, saintis membiakkan satu koloni bakteria yang menyebabkan jerawat, Propionibacterium, dan memasukkan resveratrol dan benzoil peroksida dengan berbagai kepekatan.
Secara sendirian, benzoil peroksida mampu membunuh bakteria pada kesemua tahap kepekatan, namun kesannya gagal melepasi tahap 24 jam. Resveratrol pula apabila disapu secara sendirian, tidak berupaya membunuh bakteria sama agresif dengan benzoil peroksida, tetapi ia mampu menghalang pertumbuhan baru untuk tempoh yang panjang.
Walaupun bagaimanapun, kajian membuktikan bahawa jika benzoil peroksida dan resveratrol disapu bersama, gabungan tersebut adalah paling berkesan dalam mengurangkan pertumbuhan bakteria. Secara tidak langsung, bilangan bakteria akan berkurangan.
Penutup :
Terima kasih kerana membaca artikal ini, Jika anda ada pengalaman atau perkongsian berkaitan buah anggur, boleh kongsikan di ruangan komen bersama pembaca yang lain ;-)