Cara melatih anak memakai tudung
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati :
Kali ini saya ingin berkongsi sedikit cara melatih anak memakai tudung seawal umur 1 tahun. Cara Ajar Anak Pakai Tudung. Menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa orang islam untuk mengajar anak-anak perempuan mereka menutup aurat. Dan sebagai ibu bapa, mengajar anak-anak perempuan mereka untuk bertudung adalah merupakan perkara asas untuk mengajar mereka tentang aurat. Secara asasnya anak-anak kecil masih belum perlu tahu berkenaan mana yang perlu ditutup atau mengapa perlu ditutup, tetapi langkah mengajar anak memakai tudung sejak kecil adalah untuk menjadikan pemakaian tudung sebagai satu kebiasaan dan apabila mereka sudah mumaiz nanti mereka akan lebih mudah faham akan keperluan dan sebab mengapa mereka perlu menutup sebahagian diri mereka. Tiada cara yang spesifik untuk mengajar anak anda bertudung sejak kecil, tetapi apa yang dikongsikan ini adalah sebahagian cara yang dikongsikan oleh para ibu bapa yang berpengalaman melatih anak mereka memakai tudung.
1- Berikan contoh yang terbaik
- Jika kita nak mengajar anak memakai tudung sejak kecil, berikan contoh yang baik kepada mereka. Ini adalah kerana kanak-kanak akan mudah meniru apa yang ibu bapa mereka lakukan. Ibu perlu memainkan peranan dengan memberikan contoh terbaik untuk anak perempuan mereka. Ibulah orang pertama yang akan diperhatikan bagaimana seorang wanita bertudung. Dan apabila anak perempuan anda melihat para ibu cantik bertudung pasti naluri anak perempuan itu mahu meniru ibunya yang cantik bertudung.
2- Jangan terlalu memaksa
- Sentiasa ingat bahawa anak anda masih kecil dan belum memahami kehendak syariat. Jadi, jika ketika anda mahu memperkenalkan tudung kepada tetapi mereka enggan, cuba lain kali, jangan terlalu memaksa. Apa yang lebih penting adalah ibu bapa perlu konsisten untuk memperkenalkan tudung kepada anak mereka. Dan jika anak anda mahu membuka tudung setelah beberapa ketika dipakai, jangan halang kehendak mereka. Biarkan buka tudung tersebut dan cuba lagi lain kali.
3- Belikan tudung yang comel
- Kita pastinya akan lebih suka memakai pakaian yang cantik-cantik. Anak kita juga tidak terkeculai. Naluri seorang perempuan sememangnya sudah terserlah sejak kecil lagi. Belikan anak anda tudung yang comel, selesa, menarik serta sesuai dengan saiz kepala anak anda. Tudung yang comel akan membuatkan anak anda lebih seronok untuk sentiasa memakai tudung.
4- Puji anak anda
- Setiap kali anda memakaikan tudung pada anak anda, puji anak anda. Katakan mereka comel ketika memakai tudung. Anak-anak sebenarnya faham yang anda sedang memuji mereka.
Akhir sekali, terima kasih kerana membaca artikal ini. Dipersilakan share, Semoga artikal ini memberi manfaat untuk semua, Jika anda ada pengalaman atau perkongsian berkaitan melatih anak memakai tudung, boleh kongsikan di ruangan komen, ;-)