Cara menghilangkan dan mengawal perasaan gemuruh
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati :
Kali ini saya ingin berkongsi sedikit tentang cara menghilangkan dan mengawal perasaan gemuruh. Pastinya semua orang pernah mengalami perasaan gemuruh. Perasaan gemuruh biasanya muncul semasa kita nak lakukan sesuatu yang jarang atau tidak pernah kita lakukan. Walaubagaimanapun, perasaan gemuruh sebenarnya adalah sesuatu yang normal. Ia memberi makna bahawa diri kita berada dalam keadaan 'Alert' untuk melakukan sesuatu. Sepertimana tekanan atau stress, perasaan gemuruh boleh membawa kepada kebaikan dan juga keburukan jika tidak dikawal dengan baik.
Jika anda mengalami ciri-ciri fizikal ini, anda sebenarnya sedang berhadapan dengan perasaan gemuruh:
- Telapak tangan menjadi sejuk
- Sukar untuk bernafas
- Denyutan jantung meningkat
- Berpeluh
- Tangan menggigil
Bagi mengawal dan menghilangkan rasa gemuruh, saya cadangkan untuk anda lakukan perkara-perkara di bawah. Ini adalah apa yang saya lakukan semasa saya sendiri menghadapi perasaan gemuruh dan cara-cara ini berkesan untuk saya. Mungkin ia juga dapat membantu anda.
1. Pegang Sesuatu
- Memegang sesuatu dapat membantu diri kita dari terlalu gemuruh dan mengawal diri dari mengigil keterlaluan. Sebagai contoh, jika anda dikehendaki untuk memberikan ucapan awam, anda boleh pegang segulung kertas atau pen untuk membantu anda mengawal diri dari gemuruh dan menggigil. Selain daripada itu, memegang sesuatu dapat meningkatkan keyakinan diri semasa melakukan sesuatu.
2. Latihan dan Persediaan
- Perasaan gemuruh biasanya mudah datang ketika kita perlu lakukan sesuatu yang tidak pernah atau jarang kita lakukan. Ini adalah kerana kita tidak tahu bagaimana perkara tersebut akan berlaku dan bagaimana orang akan fikir tentang diri kita. Bagi meningkatkan keyakinan diri, kita perlu lakukan latihan untuk perkara yang kita akan lakukan. Sebagai contoh, sekiranya anda diminta untuk membuat ucapan awam, anda perlu lakukan latihan sendirian terlebih dahulu dan menyediakan teks ucapan sebagai panduan anda semasa membuat ucapan.
3. Doa Hilangkan Gemuruh
- Senjata paling ampuh bagi seorang muslim adalah doa. Bagi membantu diri meningkatkan keyakinan diri, doa adalah salah satu perkara yang wajib diamalkan. Bacalah apa sahaja doa sama ada doa melancarkan lisan, doa Nabi Yunus atau doa memudahkan kerja. Yang paling penting, berdoa dapat menenangkan hati dan meningkatkan kebergantungan diri kepada Allah.
4. Selawat dan Zikir
- Sifat lawan bagi gemuruh adalah tenang. Dan untuk mendapat ketenangan, salah satu cara adalah dengan mengingati Allah. Ingati Allah dengan memperbanyakkan zikir dan Istigfar beserta selawat ke atas junjungan Nabi S.A.W.
5. Kawal Pernafasan
- Apabila badan dikawal oleh perasaan gemuruh, penafasan kita menjadi tidak tetap dan sukar untuk bernafas. Apa yang kita boleh lakukan adalah reset semula ritma pernafasan kita dengan menyedut nafas dalam dan hembus secara perlahan-lahan. Lakukan beberapa kali sehingga anda dapat rasakan ketenangan semasa anda bernafas.
6. Berfikiran positif
- Perasaan gemuruh mudah berlaku pada orang yang selalu berfikiran negatif dan terlalu memikirkan apa orang akan kata. Bagi mengawal perasaan ini, kita perlu sentiasa berfikiran positif dan sentiasa bermonolog dan memberi semangat kepada diri sendiri. Kerap nyatakan bahawa 'saya boleh lakukannya' kepada diri sendiri.
7. Berlakon
- Jika anda berasa gemuruh, jangan terlalu terikut-ikut dengan perasaan gemuruh itu. Cuba untuk berlagak tenang kerana ia juga boleh memberikan kesan ketenangan kepada anda. Selain itu juga, ia akan memberikan keyakinan diri sendiri.
8. Datang awal
- Jika anda gemuruh kerana menghadiri temuduga atau keadaan yang sama dengannya, pastikan anda datang awal ke tempat temuduga sekurang-kurangnya 30 minit sebelum masa bermula. Ini adalah kerana jika anda terlewat atau kelam kabut, anda akan bertambah gemuruh dan persediaan anda juga tidak akan berjalan lancar.
9. Bergerak
- Jika anda gemuruh, gerakkan tubuh badan anda dengan berjalan atau melakukan senaman ringan. Ini akan dapat membantu badan anda daripada terlalu stress dan membantu anda untuk kurangkan menggigil.
Akhir sekali, terima kasih kerana membaca artikal tentang menghilangkan dan mengawal perasaan gemuruh ini. Jika anda ada pengalaman atau perkongsian berkaitan cara menghilangkan dan mengawal perasaan gemuruh ini, boleh kongsikan di ruangan komen ;-)