Saturday, 17 September 2016

Cara muhasabah diri yang terbaik, wajib baca! ~ Klil Disini

Tags

Muhasabah diri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati :

Kali ini saya ingin berkongsi sedikit cara terbaik untuk muhasabah diri. Di dalam kesibukan dunia yang penuh dengan cubaan ini, ramai yang kerap kali hanyut di bawa oleh arus pembangunan dan kesibukan bekerja. Hinggakan kadangkala terlupa untuk berhenti dan berfikir sejenak tujuan sebenar kita wujud di dalam dunia ini. Salah satu cara untuk kita tidak terbawa-bawa dengan kehidupan dunia semata-mata adalah dengan memperbanyakkan muhasabah diri sendiri. 

Berapa kerap anda muhasabah diri sendiri? Soalan ini perlu anda tanyakan kepada diri sendiri. Dan hanya anda sendiri tahu jawapannya. Tujuan artikel kali ini adalah untuk kita sama-sama bermuhasabah diri kita sendiri dan berfikiran dengan lebih luas.

Apa itu muhasabah diri? 
  1. Muhasabah diri adalah satu perbuatan sukarela yang dilakukan biasanya di dalam hati dan fikiran berkaitan sebab dan akibat sesuatu perkara. Muhasabah diri mudah diungkapkan dengan lidah tetapi agak sukar untuk dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Insan yang terbaik adalah insan yang mana dirinya hari ini lebih baik daripada semalam dan begitulah seterusnya.

Apakah kebaikan muhasabah diri?
  1. Muhasabah diri adalah tuntutan Allah dan merupakan salah satu cabang ibadah
  2. Muhasabah diri dapat menundukkan sifat bongkak dan sombong
  3. Muhasabah diri dapat meningkatkan darjat seseorang
  4. Muhasabah diri membantu seseorang dalam perjalanan menuju taubat yang sebenar 

Muhasabah diri boleh dilakukan pada bila-bila masa tetapi masa yang terbaik adalah sebelum kita masuk tidur setiap malam. Kenapa sebelum tidur? Sebab tidur adalah kematian kecil dan kita tidak akan dapat pastikan bahawa pagi esoknya kita akan dapat bangun seperti biasa atau kita bangun di dalam liang lahad. Semoga dengan muhasabah diri sebelum tidur itu dikira oleh Allah sebagai satu doa dan penyesalan atas kesalahan yang telah kita lakukan pada hari tersebut.

Cara terbaik untuk muhasabah diri adalah dengan duduk diam sebentar dan bertanyakan soalan-soalan berikut kepada diri sendiri:
  1. Apa kebaikan yang telah saya lakukan hari ini?
  2. Apakah manfaat yang telah saya berikan kepada orang lain hari ini?
  3. Antara kebaikan dan keburukan, mana yang lebih banyak saya lakukan pada hari ini?
  4. Adakah amanah yang belum dilaksanakan?
  5. Dengan siapa saya pernah berdosa dan sudah minta maaf atau belum?
  6. Berapa banyak hutang saya kepada manusia?
  7. Berapa banyak hutang saya kepada Allah?
  8. Jika saya mati pada saat dan ketika ini, apakah syurga atau neraka haluan saya?

Setiap kali saya bertanyakan soalan-soalan ini, saya sendiri sukar untuk menjawabnya. Mungkin itulah tanda bahawa banyak lagi penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk terus menjadi insan yang lebih baik di masa akan datang. 

Semoga kita semua akan menjadi insan yang terbaik di sisi Allah S.W.T

Akhir sekali, terima kasih kerana membaca Cara muhasabah diri yang terbaik. Jika anda ada pengalaman atau perkongsian berkaitan muhasabah diri, boleh kongsikan di ruangan komen ;-)