Saturday, 17 September 2016

Tips menyimpan wang untuk melangsungkan perkahwinan ~ Klil Disini

Tags

Perkahwinan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati :

Kali ini saya ingin berkongsi sedikit untuk anak2 muda di luar sana tips cara menyimpan wang untuk melangsungkan perkahwinan. Setiap orang pastinya pada satu ketika akan melangsungkan perkahwinan. Tetapi sejauh manakah anda bersedia untuk berbelanja besar bagi majlis perkahwinan anda? Adakah anda ingin bergantung kepada ibu bapa semata-mata? Atau anda sedang berkira-kira untuk mengambil pinjaman peribadi sebagai modal majlis perkahwinan anda?

Jika anda kini baru berusia awal 20-an, anda boleh gunakan cara-cara ini untuk menyimpan duit untuk majlis perkahwinan anda. Saya sarankan tidak kira anda lelaki atau perempuan, anda perlu menyimpan duit untuk majlis perkahwinan anda. Yang perempuan jangan hanya harapkan ibu bapa dan bakal suami semata-mata. Berikan juga sumbangan anda dalam majlis perkahwinan anda. Lebih-lebih lagi jika anda mahukan majlis perkahwinan yang istimewa.

~ 12 Cara Menyimpan Duit Untuk Majlis Perkahwinan ~

1- Buat Perancangan Awal
  • Ok. Mula-mula sekali, anda perlu bayangkan majlis perkahwinan yang anda mahukan. Daripada bayangan tersebut, anda akan dapat tahu anggaran kasar atau kos yang mungkin akan anda perlukan untuk mendapatkan majlis perkahwinan tersebut. Jangan mudah terpedaya dengan majlis perkahwinan artis yang penuh dengan tajaan dan kemewahan. Sebaik-baik majlis adalah majlis yang mengikut kemampuan anda.

2- Buat Bajet
  • Setelah anda membuat bayangan majlis perkahwinan yang anda impikan, kini tibalah masanya untuk anda mulakan proses pengiraan di atas kertas. Mungkin anda rasakan agak terlalu awal untuk membuat pengiraan. Tetapi percayalah, anda akan rasa lebih 'selamat' sekiranya anda membuat bajet lebih awal untuk majlis perkahwinan anda.
  • Ok? Katakanlah, dalam pengiraan kasar anda, majlis anda memerlukan lebih kurang RM30000 untuk dilangsungkan dengan jayanya. Jadi kini anda perlu target pula umur atau tahun anda akan berkahwin. Katakan anda berumur 21 tahun, dan anda target untuk berkahwin pada umur 27 tahun, jadi anda ada masa lebih kurang 6 tahun untuk menyimpan RM30000.
3- Simpan Awal
  • Tadi anda dah buat anggaran kasar majlis perkahwinan anda menelan kos lebih kurang RM30000. Jadi, sekarang anda hanya perlu kira berapa banyak yang perlu anda kumpul dalam setahun dan sebulan untuk mencapai matlamat simpanan utuk majlis perkahwinan anda. RM30000 dalam 6 tahun bermakna RM5000 setahun. Untuk mengumpul RM5000 setahun, anda perlu menyimpan lebih kurang RM420 sebulan. Jadi mulakanlah simpanan anda sekarang!
  • Oh ya. Tidak mengapa jika pada tahun pertama simpanan anda kurang daripada RM420. Adalah lebih penting anda mulakan simpanan awal berbanding berapa nilai yang anda simpan.

4- Buat Potongan Gaji
  • Cara paling mudah untuk menyimpan duit untuk majlis perkahwinan adalah dengan membuat potongan gaji terus ke bank pilihan anda. Buat Standing Instruction dengan nilai RM420 setiap bulan ke akaun simpanan majlis perkahwinan anda dan selebihnya anda boleh gunakan untuk perkara-perkara lain.
  • Ada juga eloknya jika anda sediakan satu akaun khas untuk simpanan majlis perkahwinan anda. Dan jangan diusik simpanan tersebut sehingga tarikh matangnya iaitu apabila anda akan melangsungkan majlis perkahwinan anda.

5- Cari Pendapatan Tambahan
  • Jika anda ingin mencapai matlamat simpanan anda lebih awal. Anda boleh mencari pendapatan tambahan. Pendapatan tambahan bukan hanya boleh diperolehi dengan bekerja secara fizikal, tetapi anda juga mempunyai pilihan untuk mencari pendapatan tambahan secara online. Contoh cara mencari pendapatan tambahan ada saya kongsikan dalam artikel Cara Menambah Pendapatan Tahun 2016.

6- Tambah Ilmu
  • Jika anda mahukan dunia dan akhirat, maka anda perlukan ilmu. Begitulah juga dengan menyimpan duit untuk perkahwinan. Anda perlu tambah pengetahuan anda berkenaan pengurusan kewangan dan kekeluargaan agar minda anda lebih terbuka untuk mencapai matlamat anda. Dalam masa yang sama, tambah juga ilmu agama yang lebih menjamin kehidupan di dunia dan akhirat.

7- Kenali Pasangan
  • Ada yang memilih calon berdasarkan rupa. Ada juga yang memilih berdasarkan harta. Jika anda mempunyai pilihan, pilihlah pasangan yang mempunyai matlamat kewangan yang sama dengan anda. Jika anda suka berniaga, lebih baik anda cari pasangan yang suka berniaga. Jika anda mahukan kesederhanaan dalam majlis perkahwinan anda, pilihlah pasangan yang suka bersederhana. Pokok pangkalnya, kenali hati budi pasangan anda.

Ok. Tips seterusnya adalah lebih menjurus kepada bagaimana cara untuk mengumpulkan RM420 contoh simpanan bulanan) setiap bulan.

8- Puasa Sunat
  • Perbanyakkan puasa sunat. Niatkan puasa sunat untuk beribadah kepada Allah. Tetapi dalam masa yang sama ia dapat menjimatkan perbelanjaan anda dan membantu mengawal nafsu perbelanjaan anda.

9- Perbanyakkan Sedekah
  • Sesukar mana pun anda untuk menyimpan setiap bulan, pastikan tabung sedekah tidak dilupakan. Sedekah dapat meningkatkan rezeki anda. Yakinlah.

10- Naik Motor
  • Bagi saya, orang bujang tidak mempunyai masalah untuk bergerak ke tempat kerja atau ke mana sahaja dengan menggunakan motosikal. Tambahan lagi penggunaan minyak motosikal lebih menjimatkan berbanding kenderaan besar lain.

11- Masak Sendiri
  • Walaupun masak sendiri nampak seperti perkara yang menjimatkan dan remeh untuk dilakukan, memasak sebenarnya dapat mengajar anda sekurang-kurangnya 3 perkara. Pertama mengajar anda berdikari, kedua mengajar anda kesabaran dan yang ketiga mengajar anda erti kesyukuran. Elemen-elemen ini adalah penting untuk membina keluarga anda yang bahagia. 

12- Bawak Bekal
  • Berjimat dan menyimpan dengan cara ini selalunya dipandang sinis oleh kebanyakan orang. Tetapi sebenarnya memberikan impak yang besar kepada kewangan anda. Anda boleh jimat RM5-RM10 setiap hari hanya dengan membaaw bekal ke tempat kerja. Jika anda amalkan setiap hari, anda akan dapat tambahan lebih kurang RM1500 setiap tahun.

Penutup :

Akhir sekali, terima kasih kerana membaca Cara Menyimpan Duit Untuk Majlis Perkahwinan. Jika anda ada pengalaman atau perkongsian berkaitan menyimpan duit untuk kahwin, boleh kongsikan di ruangan komen ;-)